Wednesday, November 4, 2009

tragedi berdarah 26 Okt 09..

Bayi antara empat maut dua kereta bertembung
Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Empat sekeluarga, termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, meninggal dunia apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan sebuah Proton Saga, di Kilometer 1.5, Persiaran Selatan, Jalan Kajang-Dengkil, dekat sini tengah hari semalam.

Mereka yang terbunuh ialah Wan Hanisah Wan Ibrahim, 56; dua anaknya, Nor Lenny Marlina Mohd Zawawi, 28, dan Nor Adilah, 26; serta cucunya, Siti Nur Balqis Mohammad Ariffadilah, tiga bulan yang juga anak Nor Lenny Marlina.

Kejadian berlaku jam 1 tengah hari ketika kereta yang dipandu Nor Adilah dari arah Kajang ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bertembung dengan kereta yang terbabas dari arah bertentangan.

Nor Adilah dan Nor Lenny Marlina meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa mati dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Semua mangsa cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob, berkata pemandu Proton Saga, seorang wanita berusia 44 tahun patah kaki dan dirawat di Hospital Putrajaya.

Zahedi berkata, kereta Proton Saga dari arah PICC ke Serdang itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas melintasi pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan serta bertembung dengan kereta mangsa.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Desa Pinggiran Putra, dekat sini selepas membeli-belah di Alamanda, berhampiran tempat kejadian.

Jenazah Nor Lenny Marlina dan Nor Adilah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala Wan Hanisah dan cucunya dihantar ke Hospital Putrajaya.

Sementara itu, suami Wan Hanisah, Mohd Zawawi Ablah, 56, yang bertugas di Kementerian Kewangan, berkata beliau mahu menghantar buaian yang dibelikan untuk Siti Nur Balqis ke rumahnya pada jam 12.40 tengah hari tetapi pintu rumah berkunci kerana mereka sudah keluar.

"Saya berpatah balik ke pejabat di Putrajaya, tetapi dalam perjalanan saya lihat ada kemalangan di lorong bertentangan dan ternampak kereta Perodua Kancil yang remuk.
"Saya amat terkejut apabila melihat mangsanya adalah isteri, anak dan cucu saya, manakala anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan dua anak saya yang tersepit dalam kereta," katanya sebak.

Abang mangsa dua beradik itu, Mohd Khairul Dahri, 29, kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, pula berkata beliau menerima panggilan telefon daripada bapanya kira-kira jam 1 tengah hari memaklumkan kemalangan itu dan memintanya datang melihat sendiri di tempat kejadian.

"Apabila sampai di situ, polis memaklumkan dua adik saya terbunuh tetapi ibu, adik dan anak saudara saya sudah tidak ada di situ," katanya yang kali terakhir bertemu ibu dan adik-adiknya di rumah mereka malam kelmarin.

-------------------------------------------------------------------------------------
seminggu sudah berlaku..apa yg berlaku telah tersurat oleh takdir..sabar, redha dan pasrah menerima ujian Allah..Ya Allah, berikan kekuatan kepada kami menghadapi ujianMu ini...

buat keluarga suamiku, moga kalian tabah menghadapi ujian ini..

buat ummi, lenny, dila n little balqis, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas kalian..doa kami sentiasa mengiringi..damailah dengan tenang di sana...al-fatihah....













kenangan bersama arwah balqis..maklong rindu balqis :(
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...