Artikel di kopipes daripada pregnant.my
Keguguran ditakrifkan sebagai keluarnya janin atau kelahiran pramatang
sebelum bayi mampu untuk hidup. Dianggarkan sebanyak 15% hingga 40%
wanita hamil terdedah kepada risiko keguguran manakala 60% hingga 75%
keguguran terjadi pada awal kehamilan iaitu sebelum kandungan mencecah 3
bulan. Kesedihan dan kekecewaan yang melanda akibat keguguran yang lalu
semestinya masih meninggalkan kesan terhadap anda dan pasangan anda.
Anda juga mungkin tertanya-tanya akan adakah peluang untuk hamil selepas
itu dan bilakah anda boleh mencuba lagi.
sumber: Google |
Apakah faktor yang menyebabkan keguguran?
Seringkali,
keguguran berlaku secara tidak diduga dan ianya juga boleh berlaku
tanpa sebab yang jelas. Oleh itu, keguguran boleh berlaku pada sesiapa
sahaja termasuklah wanita yang sihat. Namun, beberapa faktor saintifik
yang mengakibatkan keguguran dikenalpasti seperti berikut:
- Pembentukan embrio yang cacat disebabkan oleh jumlah kromosom yang tidak tepat atau strukturnya yang berubah. Kes seperti ini sering dikaitkan dengan keguguran awal.
- Pengaruh hormon pada wanita hamil – contohnya hormon prolaktin yang terlalu tinggi atau progesteron yang terlalu rendah yang mempengaruhi sistem kekebalan tubuh sekaligus mendedahkan kandungan kepada penyakit berat yang diderita oleh wanita hamil. Perubahan hormon juga boleh berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan merokok, meminum minuman keras, obesiti, atau kurang berat badan yang melampau.
- Tumor pada rahim wanita yang mengganggu pertumbuhan embrio.
- Serviks yang lemah dan tidak dapat menampung berat janin yang semakin berkembang.
- Jangkitan atau virus yang membahayakan seperti HIV.
- Penyebab fizikal seperti terjatuh atau mengalami kemalangan.
Bilakah anda boleh mencuba lagi?
Keguguran
sekali bukanlah petanda bahawa anda tidak subur. Menurut pakar, wanita
yang tidak menjalani proses D&C (iaitu pembedahan dilation &
curettage untuk mengeluarkan janin yang tidak bernyawa dari rahim)
berpeluang untuk hamil kembali seawal 7 hingga 10 hari selepas keguguran
terjadi – sungguhpun anda masih mengalami pendarahan. Ini adalah kerana
proses ovulasi masih boleh berlaku pada bila-bila masa dalam kitaran
haid. Namun, sekiranya anda perlu melalui proses tersebut, anda
dinasihatkan untuk menunggu sehingga sebulan supaya rahim anda
benar-benar sembuh. Kehamilan pada peringkat awal (kurang daripada 3
bulan) biasanya tidak memerlukan proses D&C kerana janin akan keluar
secara sendirinya.
Kebanyakan doktor pula biasanya meletakkan
jangkamasa 3 kitaran haid untuk wanita yang mengalami keguguran hamil
semula kerana selain memulihkan kesihatan fizikal, tempoh tersebut turut
membantu wanita bersedia dari segi emosi.
Apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko keguguran berulang?
- Sentiasa membuat pemeriksaan prenatal dan mendapatkan nasihat doktor. Keguguran boleh terjadi disebabkan beberapa perkara yang lebih diketahui oleh doktor yang memeriksa anda. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor dan jalanilah pemeriksaan prenatal sekerap yang mungkin.
- Jangan merokok atau meminum minuman keras ketika anda hamil.
- Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil apa-apa ubat-ubatan kerana ia mungkin memudaratkan kehamilan anda.
- Melakukan pembedahan D&C bagi kehamilan yang melebihi 3 bulan untuk memastikan tiada saki-baki daripada keguguran yang lalu dan dapat mengelak jangkitan kuman.
- Menjauhi sebarang aktiviti berat serta menghindari semua perkara yang boleh menyebabkan stres.
- Mengamalkan diet yang sihat dan senaman yang secukupnya.
- Sekiranya anda mempunyai masalah dengan sistem peranakan, dapatkan rawatan yang berpatutan dengan penyakit tersebut. Contohnya, jalani ujian laparoscopi untuk mengetahui sebarang masalah pada rahim atau membuang fibroid sekiranya ada.
Menguruskan emosi selepas mengalami keguguran
- Ambillah masa untuk anda bertenang dan benar-benar menerima keguguran yang telah ditakdirkan. Berserah kepada Tuhan atas ketentuan takdir dengan sentiasa berdoa juga akan dapat mengembalikan semangat anda untuk mencuba lagi.
- Dapatkan sokongan melalui pasangan anda dan keluarga terdekat seperti ibu dan kakak.
- Sertai kumpulan-kumpulan sokongan sekiranya anda memerlukan maklumat tambahan dan berkongsi pengalaman bersama wanita yang pernah melalui keguguran.
- Di samping itu, perbanyakkan juga pembacaan berbentuk ilmiah anda supaya anda lebih peka terhadap kehamilan dan kesihatan anda serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila disahkan hamil semula.
No comments:
Post a Comment